Pemilihan bahan bacaan yang betul sangat penting dalam
pembacaan. Ia perlulah bersesuaian dengan peringkat umur. Hal ini disebabkan
penggunaan kosa kata yang berlainan dan berbeza mempengaruhi kefahaman terhadap
seseorang mengikut peringat umurnya. Secara umumnya, bahan bacaan merangkumi
buku, akhbar, majalah dan lain-lain lagi. Oleh itu, guru-guru sering menghadapi
masalah dalam memilih bahan bacaan untuk pelajar.
Terdapat dua jenis bahan bacaan iaitu
bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan fiksyen ialah bahan yang
biasanya dibaca pada waktu lapang dan digolongkan dalam bahan bacaan yang
ringan. Sebaliknya, bahan bacaan bukan fiksyen pula ialah bahan bacaan ilmiah
dan mengandungi pelbagai maklumat yang penting di samping penggunaan Bahasa yang
tinggi.
Jenis-jenis bahan bacaan
1.
Bahan Bacaan Mekanis (Bersuara)
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang
berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca
nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu
aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan
informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang.
Orang yang membaca harus mempunyai
kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang
dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan
mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan
cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar.
Membaca mekanis merupakan satu
keterampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap
aksara di atas halaman kertas dan memproduk suara yang tepat dan bermakna.
Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih
tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronunciation) daripada
pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai
ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah keterampilan serta minat.
Untuk membolehkan penguasaan membaca
nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu
menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap
yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat.
Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam
satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar.
2.
Bahan Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading)
ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan
pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk
memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring,
membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat
dilakukan di mana-mana sahaja. Biasanya, membaca dalam hati atau
senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca intensif dan membaca
ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan
senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar
isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan membaca senyap
lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan
dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya
tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah
murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.
3.
Bahan Bacaan Intensif (Pantas dan
Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut
ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan
pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan
bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam
telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca
idea adalah ditekankan.
Bacaan insentif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan
memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja
yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian
terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan,
serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi berlainan.
Bacaan insentif boleh juga dibaca
dengan dua cara. Salah satu daripadanya ialah membaca pantas. Bacaan pantas
adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan
tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun,
membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan
membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika
itu.
Membaca yang dilakukan dalam keadaan
yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang
diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan.
Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan
kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui
bacaan senyap atau membaca dalam.
Hal ini berikutan dalam bacaan kuat
atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar
kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan
bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia.
Selain daripada membaca pantas keduanya
ialah bacaan imbas yang dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang
dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai tinjauan. Biasanya
sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu
bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan
untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut
sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.
4.
Bahan Bacaan Ekstensif
Membaca ekstensif ialah kegiatan
membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu
yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk
memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti
membaca yang berkesan. Membaca secara ekstensif ini biasanya melibatkan
perkara-perkara seperti membaca secara tinjauan, membaca secara sekilas dan
membaca secara dangkal.
5.
Bahan Bacaan Rekreasi
Membaca rekreasi adalah satu lagi bentuk kegiatan membaca
yang tidak melibatkan perahan otak yang begitu serius. Bacaan jenis ini adalah
untuk tujuan bersenang-senang dan dilakukan dalam keadaan bersantai.
Bahan-bahan bacaannya adalah yang terdiri daripada bahan-bahan ringan yang
dapat merangsang kepuasan dan menghiburkan. Lazimnya bahan-bahan yang dibaca
ialah komik, cerita-cerita pendek, informasi tertentu, berita, bahan sastera
dan pelbagai bentuk pengetahuan yang menyenangkan.
6.
Bahan Bacaan Kritis
Bacaan kritis ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara
bijaksana, penuh ketelitian, mendalam, evaluatif serta analitis. Bacaan
tersebut tidak hanya tertumpu kepada kesalahan-kesalahan atau kelemahan yang
terdapat dalam bahan-bahan yang dibaca. Membaca kritis biasanya berdasarkan
keupayaan memahami yang tinggi.
Proses bermula dengan penggalian yang
mendalam di bawah permukaan untuk menemukan bukan hanya keseluruhan kebenaran
tentang apa yang diperkatakan, tetapi juga menemukan alasan-alasan mengapa
penulis mengetengahkan perkara yang dibincangkan itu.
Seterusnya, selain daripada jenis bahan bacaan di
atas, terdapat tiga teknik membaca yang disarankan melalui jenis bahan
bacaan untuk membantu pelajar menguasai pelajaran mereka. Kami akan menerangkan
satu persatu teknik membaca dengan pantas dan berkesan dengan cara yang mudah
difahami oleh para pelajar. Teknik membaca yang disarankan ialah:
1. Teknik Membaca KWLH
2. Teknik Membaca SQ3R
3. Skimming and Scanning
Seseorang pelajar lazimnya terpaksa banyak
membaca buku dalam kehidupan harian sebagai pelajar. Dalam konteks sekolah
bestari, pelajar digalakkan mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber.Ini akan
menyebabkan anda akan berasa terpaksa membaca. Mereka membaca dengan pelbagai
tujuan. Ada masanya mereka perlu membaca secara meluas atau ekstensif. Ada
masanya pula mereka perlu membaca secara intensif atau mendalam. Untuk menjadi
seorang pembaca yang berkesan, pelajar perlu menguasai dan mengamalkan beberapa
teknik membaca. Oleh kerana itu guru perlu membimbing pelajar menguasai
teknik-teknik tersebut dari peringkat sekolah rendah lagi.
Dalam konteks sekolah, pelajar membaca
untuk tujuan-tujuan seperti yang berikut; untuk mendapatkan maklumat atau fakta
berkaitan dengan sesuatu tajuk atau perkara untuk mendapatkan gambaran
keseluruhan tentang sesuatu tajuk atau perkara untuk memahami sesuatu persoalan
atau menjelaskan kefahaman tentang sesuatu konsep untuk mengumpul pelbagai
teknik membaca iaitu membaca pantas dan membaca kritis.
Untuk membaca pantas seseorang boleh
menggunakan teknik skimming dan scanning, manakala untuk membaca dengan kritis
seseorang boleh menggunakan teknik seperti KWLH dan SQ3R.
1.Teknik Membaca KWLH
KWLH adalah singkatan bagi yang
berikut; K
(know) Apa
yang telah diketahui (sebelum membaca), W (want) Apa yang
hendak diketahui (sebelum membaca), L (learned) Apa yang telah
diketahui (selepas membaca), H (how) Bagaimana untuk mendapat
maklumat tambahan yang berkaitan (untuk membaca seterusnya), Apa yang jelas
dari penerangan tersebut ialah diketahui membayang atau menentukan apa yang
ingin diketahui melakukan pembaca (bahan yang telah dipilih), mengetahui apa
yang telah diperoleh dari pembacaan yang baru dilakukan menentukan apa lagi
yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat pembacaan seterusnya).
Teknik pembacaan akan membolehkan pelajar
mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca menentukan apa
yang telah diperoleh dari pembacaannya, dan menentukan apakah lagi bahan yang
perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan.
Dalam konteks pengajaran, pelajar
dibiasakan menggunakan borang seperti yang di bawah sekiranya dikehendaki
menggunakan teknik KWLH.
2.Teknik Membaca SQ3R
SQ3R ialah teknik membaca kritis yang
telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Ia merupakan suatu kaedah membaca
yang memerlukan seseorang mempersoalkan kesesuaian maklumat yang terdapat dalam
suatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan.
SQ3R adalah singkatan bagi;
•S
(Survey) tinjau
•Q
(Question) soal/tanya
•R
(Read) baca
•R
(Recite) imbas kembali tau nyatakan secara lisan
•R
(Review) baca semula
Survey (tinjau) ialah langkah
membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung di
dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk
kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan
pengenalan, dan perenggan terakhir di bagian-bagian buku atau teks. Di sini
juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan
scanning.
Question (soal atau tanya) ialah langkah
yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu ciri soalan mengenai teks tersebut
setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasnya.
Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang
ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa
membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawaban kepada soalan-soalan tersebut.
Read (baca) ialah peringkat
pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba
mendapat segala jawaban kepada soalan-soalan yang telah disenaraikannya sebelum
ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan
tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginan sepanjang melakukan
pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoalkan pendapat atau maklumat yang
terdapat yang ditemuinya.
Recite (imbas kembali) ialah peringkat
yang ketiga, setelah selesai membaca pelajar cuba mengingat kembali apa yang
telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang
sesuai dilakukan dalam konteks tugasnya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan
yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada nota atau bahan yang telah
dibaca.
Review (baca semula) merupakan
peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara
berpilih untuk mengesahkan jawaban-jawaban kepada soalan yang dibuatnya di
langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.
3.Skimming dan Scanning
Teknik skimming dan scanning ini sesuai
digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas seperti sesuatu petikan mahu pun bacaan
yang lebih panjang seperti buku, jurnal dan majalah. Dalam pembacaan sesuatu
petikan, kita hanya memberi perhatian kepada idea penting setiap perenggan
untuk mendapat gambaran umum. Idea-idea khusus sengaja diabaikan. Dalam
pembacaan sebuah buku pula. Fokus kita diberikan kepada bagian tertentu di
dalam buku itu seperti pengenalan, prakata, isi kandungan, tajuk utama, rumusan
pada akhir bab dan rujukan indeks untuk mendapat gambaran umum tentang perkara
yang dibaca.
Scanning ialah pembacaan
cepat untuk mendapat maklumat yang khusus dan bukan untuk mendapat gambaran
keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini boleh melangkau bahagian-bahagian
tertentu yang difikirkan kurang penting. Ketika kita membaca, kita akan
menggerakkan mata kita dari atas ke bawah dengan pantas mengikut muka surat
petikan yang dibaca sambil memberi tumpuan kepada maklumat yang dicari. Oleh hal
yang demikian, pembacaan cara ini adalah lebih cepat daripada pembacaan cara
skimming.
Dalam konteks pembelajaran, skimming dan
scanning boleh digunakan bersama. Biasanya, kita boleh membaca cara skimming
untuk menentukan kesesuaian sesuatu bahan bacaan. Jika bahan berkenan itu
didapati sesuai maka kita boleh menggunakan scanning untuk mendapatkan maklumat
khusus yang dicari.
Diharapkan dengan menghayati dan memahami 3
teknik membaca yang telah dijelaskan tadi pelajar boleh mempraktikkan untuk
memudahkan para pelajar menguasai pelajaran mereka kelak.
Naffi Mat.2006. Glosari Pengajian
Melayu. Selangor: Cerdik Publications Sdn. Bhd.
Kamaruddin Hj. Husin.1986. Kaedah
Pengajian dan Pembelajaran Bahasa. Bangi: UKM.
Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam.1985. Kaedah Pengajaran Bahasa
Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Zulkifley Hamid.2006. Aplikasi Psikolinguistik: Dalam Pengajaran
dan Pembelajaran Bahasa. Bangi:
UKM.
Raminah Hj. Sabran.1990. Perkaedah Pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur: Fajar Bakti.