oki setiana-wanita bidadari syurga

Tuesday, May 20, 2014

PEMILIHAN BAHAN BACAAN

                      
Pemilihan bahan bacaan yang betul sangat penting dalam pembacaan. Ia perlulah bersesuaian dengan peringkat umur. Hal ini disebabkan penggunaan kosa kata yang berlainan dan berbeza mempengaruhi kefahaman terhadap seseorang mengikut peringat umurnya. Secara umumnya, bahan bacaan merangkumi buku, akhbar, majalah dan lain-lain lagi. Oleh itu, guru-guru sering menghadapi masalah dalam memilih bahan bacaan untuk pelajar.
Terdapat dua jenis bahan bacaan iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan fiksyen ialah bahan yang biasanya dibaca pada waktu lapang dan digolongkan dalam bahan bacaan yang ringan. Sebaliknya, bahan bacaan bukan fiksyen pula ialah bahan bacaan ilmiah dan mengandungi pelbagai maklumat yang penting di samping penggunaan Bahasa yang tinggi.

Jenis-jenis bahan bacaan

1.   Bahan Bacaan Mekanis (Bersuara)
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang.
Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar.
Membaca mekanis merupakan satu keterampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduk suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronunciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah keterampilan serta minat.
Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat. Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar.

2.   Bahan Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca intensif dan membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan membaca senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.

3.   Bahan Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan.
Bacaan insentif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi berlainan.
Bacaan insentif boleh juga dibaca dengan dua cara. Salah satu daripadanya ialah membaca pantas. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam.
Hal ini berikutan dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia.
Selain daripada membaca pantas keduanya ialah bacaan imbas yang dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai tinjauan. Biasanya sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.

4.   Bahan Bacaan Ekstensif
Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca secara ekstensif ini biasanya melibatkan perkara-perkara seperti membaca secara tinjauan, membaca secara sekilas dan membaca secara dangkal.


5.   Bahan Bacaan Rekreasi
Membaca rekreasi adalah satu lagi bentuk kegiatan membaca yang tidak melibatkan perahan otak yang begitu serius. Bacaan jenis ini adalah untuk tujuan bersenang-senang dan dilakukan dalam keadaan bersantai. Bahan-bahan bacaannya adalah yang terdiri daripada bahan-bahan ringan yang dapat merangsang kepuasan dan menghiburkan. Lazimnya bahan-bahan yang dibaca ialah komik, cerita-cerita pendek, informasi tertentu, berita, bahan sastera dan pelbagai bentuk pengetahuan yang menyenangkan.

6.   Bahan Bacaan Kritis
Bacaan kritis ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara bijaksana, penuh ketelitian, mendalam, evaluatif serta analitis. Bacaan tersebut tidak hanya tertumpu kepada kesalahan-kesalahan atau kelemahan yang terdapat dalam bahan-bahan yang dibaca. Membaca kritis biasanya berdasarkan keupayaan memahami yang tinggi.
Proses bermula dengan penggalian yang mendalam di bawah permukaan untuk menemukan bukan hanya keseluruhan kebenaran tentang apa yang diperkatakan, tetapi juga menemukan alasan-alasan mengapa penulis mengetengahkan perkara yang dibincangkan itu.

Seterusnya, selain daripada jenis bahan bacaan di atas, terdapat tiga teknik membaca yang disarankan melalui jenis bahan bacaan untuk membantu pelajar menguasai pelajaran mereka. Kami akan menerangkan satu persatu teknik membaca dengan pantas dan berkesan dengan cara yang mudah difahami oleh para pelajar. Teknik membaca yang disarankan ialah:
1.   Teknik Membaca KWLH
2.   Teknik Membaca SQ3R
3.   Skimming and Scanning

Seseorang pelajar lazimnya terpaksa banyak membaca buku dalam kehidupan harian sebagai pelajar. Dalam konteks sekolah bestari, pelajar digalakkan mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber.Ini akan menyebabkan anda akan berasa terpaksa membaca. Mereka membaca dengan pelbagai tujuan. Ada masanya mereka perlu membaca secara meluas atau ekstensif. Ada masanya pula mereka perlu membaca secara intensif atau mendalam. Untuk menjadi seorang pembaca yang berkesan, pelajar perlu menguasai dan mengamalkan beberapa teknik membaca. Oleh kerana itu guru perlu membimbing pelajar menguasai teknik-teknik tersebut dari peringkat sekolah rendah lagi.
Dalam konteks sekolah, pelajar membaca untuk tujuan-tujuan seperti yang berikut; untuk mendapatkan maklumat atau fakta berkaitan dengan sesuatu tajuk atau perkara untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang sesuatu tajuk atau perkara untuk memahami sesuatu persoalan atau menjelaskan kefahaman tentang sesuatu konsep untuk mengumpul pelbagai teknik membaca iaitu membaca pantas dan membaca kritis.
Untuk membaca pantas seseorang boleh menggunakan teknik skimming dan scanning, manakala untuk membaca dengan kritis seseorang boleh menggunakan teknik seperti KWLH dan SQ3R.



1.Teknik Membaca KWLH
KWLH adalah singkatan bagi yang berikut; K (know) Apa yang telah diketahui (sebelum membaca), W (want) Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca), L (learned) Apa yang telah diketahui (selepas membaca), H (how) Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan yang berkaitan (untuk membaca seterusnya), Apa yang jelas dari penerangan tersebut ialah diketahui membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui melakukan pembaca (bahan yang telah dipilih), mengetahui apa yang telah diperoleh dari pembacaan yang baru dilakukan menentukan apa lagi yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat pembacaan seterusnya).
Teknik pembacaan akan membolehkan pelajar mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca menentukan apa yang telah diperoleh dari pembacaannya, dan menentukan apakah lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan.
Dalam konteks pengajaran, pelajar dibiasakan menggunakan borang seperti yang di bawah sekiranya dikehendaki menggunakan teknik KWLH.

2.Teknik Membaca SQ3R
SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Ia merupakan suatu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoalkan kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan.

SQ3R adalah singkatan bagi;
S (Survey) tinjau
Q (Question) soal/tanya
R (Read) baca
R (Recite) imbas kembali tau nyatakan secara lisan
R (Review) baca semula

Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bagian-bagian buku atau teks. Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan scanning.
Question (soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu ciri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasnya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawaban kepada soalan-soalan tersebut.
Read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawaban kepada soalan-soalan yang telah disenaraikannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginan sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoalkan pendapat atau maklumat yang terdapat yang ditemuinya.
Recite (imbas kembali) ialah peringkat yang ketiga, setelah selesai membaca pelajar cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasnya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada nota atau bahan yang telah dibaca.
Review (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawaban-jawaban kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.


3.Skimming dan Scanning
Teknik skimming dan scanning ini sesuai digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas seperti sesuatu petikan mahu pun bacaan yang lebih panjang seperti buku, jurnal dan majalah. Dalam pembacaan sesuatu petikan, kita hanya memberi perhatian kepada idea penting setiap perenggan untuk mendapat gambaran umum. Idea-idea khusus sengaja diabaikan. Dalam pembacaan sebuah buku pula. Fokus kita diberikan kepada bagian tertentu di dalam buku itu seperti pengenalan, prakata, isi kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab dan rujukan indeks untuk mendapat gambaran umum tentang perkara yang dibaca.
Scanning ialah pembacaan cepat untuk mendapat maklumat yang khusus dan bukan untuk mendapat gambaran keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini boleh melangkau bahagian-bahagian tertentu yang difikirkan kurang penting. Ketika kita membaca, kita akan menggerakkan mata kita dari atas ke bawah dengan pantas mengikut muka surat petikan yang dibaca sambil memberi tumpuan kepada maklumat yang dicari. Oleh hal yang demikian, pembacaan cara ini adalah lebih cepat daripada pembacaan cara skimming.
Dalam konteks pembelajaran, skimming dan scanning boleh digunakan bersama. Biasanya, kita boleh membaca cara skimming untuk menentukan kesesuaian sesuatu bahan bacaan. Jika bahan berkenan itu didapati sesuai maka kita boleh menggunakan scanning untuk mendapatkan maklumat khusus yang dicari.
Diharapkan dengan menghayati dan memahami 3 teknik membaca yang telah dijelaskan tadi pelajar boleh mempraktikkan untuk memudahkan para pelajar menguasai pelajaran mereka kelak.


Naffi Mat.2006. Glosari Pengajian Melayu. Selangor: Cerdik Publications Sdn. Bhd.

Kamaruddin Hj. Husin.1986. Kaedah Pengajian dan Pembelajaran Bahasa. Bangi: UKM.

Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam.1985. Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti. 

Zulkifley Hamid.2006. Aplikasi Psikolinguistik: Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa. Bangi: UKM.

Raminah Hj. Sabran.1990. Perkaedah Pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.


No comments:

Post a Comment