oki setiana-wanita bidadari syurga

Tuesday, May 20, 2014

PENTAKSIRAN MEMBACA


Penilaian kemahiran membaca penting kepada para guru untuk mengetahui tahap kemajuan pelajar. Penilaian ini boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk penilaian dan jenis pengujian. Kemahiran membaca merupakan keupayaan para pelajar untuk membaca ayat dengan lancar serta sebutan intonasi dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberikan kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.

Menaksir dan Menilai

Menaksir dan menilai ialah dua istilah penilaian yang sering digunakan dalam bidang pengukuran, pengujian dan penilaian. Matlamat kedua-dua istilah itu mungkin sama, iaitu untuk menguji pencapaian murid pada satu-satu tahap pembelajaran tetapi pelaksanaan kedua-duanya berbeza. Pentaksiran perlu selari dengan objektif pembelajaran pada satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran. Dengan perkataan lain, pentaksiran sentiasa disepadukan dengan kaedah mengajar dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran, dan berlaku di sepanjang pengajaran dan pembelajaran tersebut. Oleh itu, guru perlu mahir pelbagai jenis alat pentaksiran dan berketerampilan menggunakannya pada masa yang paling efektif.

Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperoleh seseorang pelajar bacaan setelah mengalami proses pengajaran dan pembelajaran. Kesahan bukti empirikal yang digunakan bagi proses penaksiran sangat bergantung pada sejauh mana guru berupaya mengkuantifikasi dengan tepat kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai asas penaksiran Pengukuran pula merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran membaca, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu kemahiran membaca yang diajarkan oleh guru pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian yang boleh digunakan untuk mentafsir matlamat dan objektif pembelajaran bacaan.

PENTAKSIRAN FORMAL                                                                 

*      Pentaksiran formal biasanya dilakukan secara bertulis seperti ujian, kuiz dan esei. Hasilnya murid akan diberikan markah dan gred. Pengurusan pentaksiran jenis ini lebih sistematik. 
*      Matlamatnya adalah untuk menilai kemajuan murid dalam satu-satu jangka masa pengajaran. 
*      Contohnya, Cikgu A bercadang menilai perkembangan muridnya dalam menjawab soalan pemikiran aras tinggi setelah 6 minggu pengajaran. Untuk tujuan tersebut, beliau memilih sebuah teks komsas yang dimiliki muridnya dan mengarahkan muridnya membaca teks tersebut dari muka surat 1 hingga muka surat 50. Kemudian, murid tersebut dikehendaki menjawab 5 soalan aras aplikasi hingga aras menilai mengikut taksonomi Bloom dalam masa 1 jam. Keputusan pentaksiran ini penting kerana guru, ibu bapa dan pentadbir ingin mendapat maklumat tentang perkembangan murid dalam pembelajaran membaca. 
*      Pentaksiran jenis ini digolongkan dalam Ujian Rujukan Norma.


PENTAKSIRAN TAK FORMAL

*      Setiap pentaksiran perlu direkodkan. Rekod ini penting untuk memantau perkembangan prestasi murid. Terdapat pelbagai cara yang digunakan oleh guru untuk membuat rekod pentaksiran ini. Semua kaedah merekodkan tersebut boleh digunakan asalkan perkembangan murid itu mudah ditafsirkan dan dibuat tindakan susulan, jika perlu.
*      PBS memperkenalkan kaedah merekodkan yang lebih sistematik. Dalam rekod prestasi PBS guru dikehendaki mencatat perkembangan murid mengikut band, deskriptor dan evidens. Band dan deskriptor sudah disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), seperti yang tercatat dalam Dokumen Standard Prestasi setiap tingkatan.
*      Dalam proses merekodkan guru hanya perlu mencatatkan jenis evidens yang digunakan untuk mennaksir prestasi murid kerana evidens mungkin lebih daripada satu jenis. Di samping jenis evidens tersebut, guru juga dikehendaki mencatatkan kaedah penyimpanan evidens yang sistematik seperti direkodkan dalam kad kemajuan, disimpan oleh guru atau dipulangkan kepada murid. Hal ini penting untuk rujukan dan semakan guru serta orang lain apabila diperlukan.


Antara ciri-ciri penilaian kemahiran membaca ialah:
*Penilaian menjelaskan kemajuan pembelajaran seseorang murid.
*Penilaian adalah proses yang berterusan. Oleh itu, bukti kemajuan murid secara berterusan perlu ada.
*Penilaian menghendaki sampel kerja pelajar yang mencukupi, bukan setakat prestasi dan pengetahuan di peringkat pembelajaran dan pasca pembelajaran.
*Teknik penilaian seharusnya memberi peluang kepada murid merasai dirinya terlibat dalam sesuatu perubahan tingkah laku yang diharapkan tercapai, yang akan menunjukkan kemajuannya.
*  Penilaian dengan sendirinya merupakan situasi pembelajaran. Pelajar harus melihat dirinya mempelajari sesuatu yang baru dan sentiasa maju ke hadapan.
* Penilaian adalah terbuka dan tiada batasan. Pelajar harus merasai yang dia sentiasa bergerak ke hadapan dan tidak menganggap sesuatu yang dilakukannya itu berakhir. 

Oleh itu, penilaian kemahiran membaca haruslah berasaskan pemahaman terhadap penilaian seperti di atas. Penilaian juga harus dianggap sebahagian daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ahli-ahli psikolinguistik mengkategorikan matlamat membaca dalam tiga kategori yang utama untuk tujuan penilaian:

(1) Matlamat persepsi
Dalam penilaian, pelajar harus prihatin terhadap kebolehubahan dan boleh menyesuaikan kadar membaca dan peka terhadap ketepatan sesuatu konsep perkataan.
     II.           (2)  Matlamat kognitif
Untuk mencapai matlamat ini dalam penilaian, keprihatinan harus ditumpukan terhadap   jenis aras pemikiran yang digunakan semasa membaca.
   III.           (3) Matlamat afektif
Penilaian harus prihatin terhadap menimbulkan perasaan dan sikap murid terhadap bahasa yang dibaca.

Proses penilaian atau pentaksiran membaca dibahagikan kepada tiga iaitu:
a.      Mengenal pasti idea keseluruhan.
(1)Mesej utama yang disampaikan penulis
(2)Mengesan pandangan, pendapat dan emosi penulis.
(3)Kenal pasti prinsip penulisan
·         Pengelasan mengikut kronologi
·         Pengelasan mengikut hierarki
·         Pengelasan mengikut ciri-ciri
b.      Mengenal idea utama dan sokongan
1.      Idea utama
=Satu atau lebih idea utama
=Satu idea utama dalam satu perenggan
2.      Sokongan
=Huraian atau keterangan yang menyokong idea utama
c.       Membuat ramalan dan kesimpulan
·         Dibuat sesudah pembaca mengesan isi tersirat
·         Mesti baca dan teliti seluruh teks
·         Tidak semestinya disokong dengan contoh dan keterangan
·         Lahir daripada resolusi dan kefahaman pembaca

Secara kesimpulannya, penilaian atau pentaksiran kemahiran membaca dianggap sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan amat penting bag tujuan mengesan tahap kemajuan atau pencapaian kemahiran membaca bagi setiap pelajar.

Manfaat Pentaksiran kepada Guru
Amalan pentaksiran yang berlaku serentak dengan pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat yang berguna kepada guru bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pelajaran. Ia dilakukan dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti soal jawab, latihan, soalan lisan, soalan bertulis, interaksi, temu bual, reaksi pelajar, penyelesaian masalah, pembentukan soalan pelajar dan sebagainya.
Semasa sesi pengajaran di dalam bilik darjah berlangsung, guru menaksir adakah pengajarannya telah difahami dan dikuasai oleh pelajar.  Adakah objektif dan sasaran pembelajaran telah tercapai? Jika tidak mungkin objektif dan skop pengajaran itu terlalu luas atau melebihi tahap penguasaan pelajar. Maka, guru berpeluang untuk mengkaji semula perancangan pengajaran membaca agar lebih berkesan kepada pelajar.
Perancangan itu termasuklah memilih kaedah pengajaran yang sesuai dan berkesan, menetapkan objektif pengajaran yang lebih khusus dan penggunaan bahan bantu mengajar yang boleh memudahkan penguasaan pelajar di samping dapat menarik minat. Aktiviti pentaksiran membaca di dalam bilik darjah adalah meliputi proses mengukur, menilai dan membuat pertimbangan tentang kebolehan, kemahiran dan kefahaman pelajar berdasarkan objektif dan matlamat pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru. Dalam masa yang sama guru berpeluang untuk memperbaiki aktiviti pengajarannya di dalam bilik darjah. Aktiviti yang sama berulang dalam pelbagai pendekatan membentuk kitaran pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran yang berterusan dalam memastikan objektif ataupun sasaran pembelajaran tercapai.

Melissa Lee Farrall.2012. Reading Assessment : Linking Language, Literacy, and Cognition. New Jersey: John Wiley & Sons, Inc.

Afflerbach, P.2012. Understanding and Using Reading Assessment, K-12 (2nd ed,). Newark, DE: International Reading Association.

Arleen Shearer Mariotti.2010. Linking Reading Assessment to Instruction: An Application Worktext for Elementary Classroom Teachers. New York: Routledge.

Jeanne Shay Schumm.2006. Reading Assessment and Instruction for All Learners. New York: The Guilford Press.

JoAnne Schudt Caldwell.2008. Reading Assessment: A Primer for Teachers and Coaches. New York: The Guilford Press.


No comments:

Post a Comment